Jutawan Fakir Arab
Jutawan Arab Saudi yang berjaya mengubah hidup beliau daripada seorang rakyat miskin hingga berjaya mengumpul kekayaan, Sulaiman Al-Rajhi, merupakan seorang dermawan yang terkenal di dunia.Beliau adalah pengasas Bank Al-Rajhi, bank Islam terbesar di dunia, dan salah satu daripada syarikat terbesar di Arab Saudi.
Sehingga
2011, kekayaan beliau telah dianggarkan oleh majalah Forbes, bernilai sebanyak
AS$ 7.7 bilion sekali gus disenaraikan sebagai orang ke-120 yang terkaya di
dunia.
Yayasan
Saar milik beliau adalah sebuah organisasi amal yang terkenal di negara
tersebut.
Keluarga
Al-Rajhi dianggap sebagai salah satu daripada keluarga kaya yang BUKAN daripada
keluarga diraja, dan mereka adalah antara dermawan terkemuka di dunia.
Walaupun
Al-Rajhi adalah seorang jutawan, tetapi beliau memilih untuk menjadi ‘miskin’
sehinggakan beliau tidak mempunyai sebarang wang dan juga saham yang dimiliki
beliau sebelum ini.
Keadaan
tersebut terjadi apabila beliau memindahkan kesemua aset yang dimiliki kepada
anak-anak beliau dan mendermakan aset-aset yang selebihnya.
Bagi
menghargai jasa beliau terhadap dunia Islam, termasuk mengasaskan bank Islam
terbesar dunia dan juga segala usaha yang dijalankan untuk membasmi kemiskinan,
Al-Rajhi telah dipilih untuk menerima Anugerah Antarabangsa Raja Faisal atas
jasa beliau kepada Islam.
Dalam
satu wawancara yang dibuat oleh Muhammad Al-Harbi dari Al-Eqtisadiah Business
Daily, Al-Rajhi menceritakan tentang bagaimana beliau mampu meyakinkan
ketua-ketua bank di dunia, termasuk Bank of England, hampir 30 tahun lalu,
bahawa bayaran ‘faedah’ adalah sesuatu yang haram bagi kedua-dua agama iaitu
Islam dan Kristian, dan bank secara Islam adalah penyelesaian yang terbaik bagi
menaikkan taraf ekonomi dunia.
Kisah
Al-Rajhi berkisarkan tentang bagaimana seseorang itu meraih kekayaan dari
bawah.
Beliau
terpaksa melalui kesusahan ketika beliau kecil sebelum menjadi kaya, dan
kemudiannya meninggalkan segala harta yang ada setelah mengecapi kejayaan.
Al-Rajhi
masih lagi aktif dalam bekerja walaupun usia beliau telah mencecah lebih
daripada 80 tahun.
Beliau
memulakan tugas harian sejurus selepas solat Subuh dan terus bekerja hingga
selepas solat Isyak.
Beliau
kini sedang memberikan tumpuan terhadap Yayasan SAAR, dengan berulang-alik di
negara-negara Arab bagi menguruskan segala hal-hal yang berkaitan dengan
yayasan tersebut.
Beliau
sering membawa diari kecil untuk mencatatkan aktiviti harian beliau dan
sentiasa memastikan tidak akan terlepas dari satu aktiviti pun.
Al-Rajhi
juga merupakan seorang yang amat berjaya dalam apa jua bidang yang beliau
ceburi.
Selain
daripada mengusahakan bank Islam terbesar dunia, beliau juga telah mengasaskan
ladang binatang ternakan yang terbesar di Timur Tengah.
Daripada
segi perladangan, beliau telah menjalankan banyak eksperimen ternakan secara
organik di negara-negara Arab, termasuk perladangan udang Al-Laith. Beliau juga
turut mengasaskan perniagaan hartanah dan juga beberapa lagi pelaburan.
Temubual:
Sheikh
Suleiman, adakah anda kini telah menjadi miskin semula?
Ya. Kini
apa yang saya miliki hanyalah pakaian-pakaian saya. Saya telah membahagikan
harta saya kepada anak-anak dan juga mendermakan selebihnya untuk menjalankan
projek-projek amal. Ini bukanlah sesuatu yang aneh bagi saya. Kedudukan kewangan
saya kini telah menjadi kosong sebanyak dua kali dalam hidup saya. Jadi, saya
amat faham akan keadaan ini. Namun, kini perasaan itu dipenuhi dengan
kegembiraan dan juga ketenangan. Sememangnya saya yang memilih untuk menjadi
miskin.
Mengapa
berbuat begitu?
Segala
kekayaan dimiliki oleh Allah s.w.t, kita hanyalah ditugaskan untuk menjaga
kekayaan tersebut. Ada beberapa sebab mengapa saya memilih untuk memilih jalan
ini. Antara sebab-sebab utamanya adalah saya perlu menjaga sahabat-sahabat
Islam dan juga anak-anak saya. Ia adalah antara perkara yang paling penting
dalam hidup. Saya juga tidak suka untuk membuang masa di mahkamah hanya kerana
ada antara mereka yang tidak bersetuju dengan jumlah harta yang diwariskan
kepada mereka. Terdapat banyak contoh di mana anak-anak mula berpecah hanya
kerana harta yang kemudiannya menghancurkan syarikat. Negara ini telah banyak
kehilangan syarikat-syarikat besar kerana perbalahan harta yang boleh
diselesaikan jika kita mencari jalan penyelesaian yang lebih berkesan. Selain
daripada itu, setiap umat Islam perlu bersedekah sebagai bekalan pahala di
akhirat kelak, Jadi, saya lebih suka jika anak-anak saya mencari kekayaan
sendiri daripada bergantung dengan saya.
Adakah
Sheikh mempunyai banyak masa terluang setelah membahagikan kesemua harta?
Seperti
yang telah saya maklumkan tadi, saya masih lagi bekerja keras untuk mendapatkan
lebih derma. Saya telah bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi menjayakan
projek ini. Secara kebiasaanya, umat Islam sering membahagikan satu per tiga
ataupun suku daripada kekayaan mereka untuk bersedekah yang hanya akan
diberikan setelah mereka meninggal dunia. Namun, bagi saya, saya mahu mula
bersedekah ketika saya masih hidup. Jadi, saya telah membawa anak-anak saya ke
Mekah pada hujung bulan Ramadhan dan memberitahu mereka idea saya. Mereka
bersetuju terhadap idea tersebut. Saya telah meminta bantuan daripada
agensi-agensi yang berkaitan untuk membahagikan kesemua harta saya termasuk
saham dan juga hartanah kepada anak-anak dan juga untuk didermakan. Kesemua
anak-anak saya berpuas hati terhadap inisiatif saya dan mereka kini sedang
menguruskan segala harta yang saya berikan kepada mereka.
Berapa
banyak harta yang dibahagikan kepada anak-anak dan juga untuk didermakan?
Beliau
tergelak tanpa memberi sebarang jawapan.
Apakah
perasaan Sheikh terhadap kesemua projek yang sedang dijalankan?
Saya
ingin menegaskan bahawa terdapat beberapa faktor yang saya ambil sebelum
melakukan sebarang pelaburan. Eksperimen yang saya lakukan terhadap pertukaran
wang adalah salah satu daripada sebab mengapa saya mengasaskan bank. Ketiadaan
bank Islam juga menjadi antara sebab mengapa saya mula mengasaskan Bank
Al-Rajhi, yang kini merupakan bank Islam terbesar di dunia. Saya mulakan
eksperimen saya dengan membuka pejabat di Britain dimana kami mula
memperkenalkan sistem perbankan Islam ke peringkat yang lebih besar. Eksperimen
tersebut kemudiannya mula berkembang dan ia mula mendapat sokongan daripada
ulama-ulama Saudi pada ketika itu. Saya masih ingat lagi bagaimana permohonan
saya untuk mendapatkan lesen untuk membuka bank tidak diterima pada mulanya.
Ini adalah kerana pihak British tidak memahami apa-apa pun tentang sistem
perbankan Islam. Saya kemudiannya pergi ke London dan berjumpa dengan Pengurus
Bank of England dan dua daripada pegawai kanan beliau. Saya memberitahu mereka
bahawa penggunaan faedah adalah haram bagi Islam dan juga Kristian dan
kebanyakan daripada mereka sanggup menyimpan wang mereka di dalam kotak di
rumah daripada menyimpan di dalam bank. Saya cuba untuk meyakinkan mereka
bahawa (jika mereka mula membuka bank Islam) ini mampu menaikkan taraf ekonomi
dunia. Mereka akhirnya bersetuju untuk mula membuka bank-bank Islam. Saya
kemudiannya mula mengembara ke serata dunia di bahagian Timur dan Barat, dan
berjumpa dengan ketua-ketua bank negara di beberapa buah negara dan memberitahu
mereka bagaimana ciri-ciri yang terdapat dalam dunia ekonomi Islam. Kami mula
bekerja dan mencapai kejayaan di negara-negara Arab dan melaksanakan perbankan
Islam di London, saya kemudiannya berjumpa dengan Mufti Besar Sheikh Abdul Aziz
bin Baz dan Sheikh Abdullah bin Humaid, dan memberitahu mereka tentang
rancangan saya bahawa : ‘Kita mampu, dengan izin Allah, memajukan perbankan
Islam. Mereka memuji saya atas inisiatif yang saya jalankan. Dari situlah kami
mula mengusahakan Bank Al-Rajhi seperti mana yang anda dapat lihat hari ini.
Bagi projek Ladang Ternakan Al-Watania pula, saya mula mendapat inspirasi untuk
menjalankan projek tersebut apabila melawat ladang ternakan di luar negara.
Saya dapati bahawa cara mereka menyembelih adalah salah. Saya kemudiannya
mengambil keputusan untuk melabur dalam bidang ternakan atas nama Islam dan
negara. Saya tetap menjalankan projek tersebut walaupun membuat pelaburan dalam
industri ternakan adalah sesuatu yang agak berisiko pada masa tersebut. Kini,
Al-Watania telah menjadi salah satu daripada projek mega di Saudi. Syarikat
tersebut mendapat 40 peratus daripada saham di negara-negara Arab, dan
ayam-ayam Al-Watania diberikan makanan yang cukup dan disembelih dengan cara
yang halal menurut undang-undang syariah.
Walaupun
dengan semua kekayaan yang dimiliki, mengapa syeikh tidak mempunyai satu pun
kapal terbang sendiri?
Saya ada
banyak kapal terbang, tetapi kesemuanya dimiliki oleh syarikat-syarikat
penerbangan tertentu. Saya memilikinya setiap kali saya membayar tiket
penerbangan untuk ke satu-satu destinasi (gurauan). Saya sering terbang dengan
kadar kelas ekonomi kerana Allah tidak memberikan kita harta untuk
ditunjuk-tunjuk.
Bagaimana
pula dengan hobi syeikh?
Saya
tidak mempunyai sebarang hobi yang khusus. Bagaimanapun, saya suka mengembara
di padang pasir. Saya tidak pernah mengambil pakej percutian di negara-negara lain
selain dari Saudi.
Ketepatan
masa Al-Rajhi
Wawancara
ini telah menunjukkan bagaimana disiplin Al-Rajhi dalam menepati masa. “Pada
awal karier saya dalam industri, saya mempunyai beberapa perjumpaan dengan
beberapa syarikat besar di Eropah. Saya masih ingat lagi kisah dimana saya
terlambat selama beberapa minit dalam satu perjumpaan dengan salah seorang
pegawai besar sebuah syarikat. Walaupun hanya beberapa minit, beliau tidak mahu
meneruskan perjumpaan tersebut. Selepas kejadian tersebut, setelah projek kami
mula berkembang, pegawai yang sama pula lambat untuk berjumpa dengan saya,
jadi, saya pula yang tidak mahu meneruskan perjumpaan tersebut. Saya sering
membawa kertas untuk menulis segala perjumpaan dan urusan dan sentiasa
memastikan agar saya sering menepati masa walau apa pun.”
Al-Rajhi
berkata lagi: Saya amat menepati segala perkara yang diterapkan dalam Islam
sepanjang hidup saya. Saya pernah mendapat undangan daripada kerajaan Arab
untuk menghadiri satu persidangan yang berkaitan dengan pelaburan. Kemudiannya,
dalam persidangan yang sama, saya dijemput untuk mengambil bahagian dalam
majlis makan malam mereka, saya dapati bahawa antara aktiviti yang dijalankan
ketika majlis tersebut adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Saya
kemudiannya keluar dari majlis makan malam tersebut. Kemudian, Abdul Aziz
Al-Ghorair dari UAE turut serta bersama saya. Tidak lama selepas itu, menteri
yang bertanggungjawab terhadap persidangan tersebut datang kepada kami dan kami
mula menerangkan kepada beliau bahawa aktiviti yang dijalankan di majlis
tersebut adalah bertentangan dengan budaya Islam. Beliau kemudiannya berkata
bahawa aktiviti-aktiviti di majlis tersebut akan dibatalkan. Apabila mereka
membatalkan aktiviti tersebut, kami kembali menyertai majlis tersebut.
Penyelesaian
Masalah
Al-Rajhi
berkata: Pada satu masa, salah satu daripada kilang yang diuruskan oleh anak
saya habis dijilat api. Apabila dia datang untuk memaklumkan perkara tersebut
kepada saya, saya memberitahu: Sebut Alhamdulillah. Saya meminta anak saya supaya
tidak membuat sebarang laporan tentang kerugian yang dialami bagi meminta
pampasan daripada pihak berkuasa. Sebaliknya, pampasan yang diberikan oleh
Allah adalah lebih penting bagi kita. Assam Al-Hodaithy, Pengurus Kewangan bagi
syarikat Ternakan Al-Watania berkata: “Apabila kilang tersebut terbakar, kami
telah membuat keputusan untuk tidak menyakiti hati Al-Rajhi dengan memberitahu
beliau tentang apa yang terjadi. Kami kemudiannya berjumpa dengan beliau
keesokan harinya dan memberitahu akan perkara yang terjadi, beliau mengarahkan
kami untuk berpindah ke tempat lain dan membersihkan segala kerosakan sehingga
semuanya dibaiki.” Perkara yang sama terjadi di satu lagi projek Al-Watania di
Mesir. Syarikat tersebut kerugian kira-kira SR10 juta Pound Mesir. Apabila
pegawai projek tersebut menghubungi Al-Rajhi untuk memberitahu perkara
tersebut, beliau terkejut apabila Al-Rajhi menjawab dengan menyebut:
“Alhamdulillah.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan